
Selain melabur dalam ASB, Public Mutual dan Wahed Invest, saya juga ada melabur dalam pelaburan saham di Bursa Malaysia.
Tetapi sebelum boleh melabur dalam saham di Malaysia, kita perlu mempunyai akaun saham atau juga dikenali sebagai akaun CDS (Central Depository System).
Kos untuk membuka akaun CDS adalah sebanyak RM10 sahaja dan kita boleh memilih mana-mana broker berdaftar untuk membuka akaun saham ini. Broker adalah individu atau pihak yang menguruskan jual beli saham kita di Bursa Malaysia.
Broker pilihan saya adalah Malacca Securities Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Mplus. Kenapa saya memilih broker Mplus? Kerana caj brokernya yang rendah iaitu minimum RM8 atau 0.08% untuk setiap transaksi.
Mplus juga ada menyediakan platform pelaburan dan carta analisis teknikal yang canggih yang mempunyai pelbagai indicator dan fungsi yang memang diperlukan oleh kita sebagai pelabur untuk membuat analisis pasaran saham yang terbaik.

Bukan itu sahaja, Mplus turut mempunyai aplikasi yang boleh digunakan untuk kita membuat transaksi pelaburan terus dari telefon bimbit tanpa perlu membuka komputer.
Apakah dokumen yang diperlukan untuk membuka akaun CDS ini? Dokumen yang diperlukan adalah:
- Salinan MyKAD depan dan belakang
- Salinan penyata bank (muka hadapan yang mempunyai nama, alamat dan nombor akaun bank)
Itu sahaja.
Borang pendaftaran boleh didapati di pejabat broker Mplus. Senarai penuh cawangan Mplus boleh rujuk di sini.
Borang mestilah diisi dengan lengkap. Tetapi jangan risau. Pegawai Mplus akan membantu anda untuk isikan mana-mana ruang yang anda tidak pasti. Apa yang penting adalah pastikan tandatangan anda adalah sama untuk setiap halaman yang diisi.

Proses pengaktifan akaun CDS saya mengambil masa lebih kurang 3 hari. Maklumat akaun dan kata laluan sementara akan dihantar melalui emel. Selepas akaun CDS diaktifkan, barulah kita boleh deposit wang pelaburan ke dalam akaun kita untuk dilaburkan.
Mudah sahaja sebenarnya. Cuma yang leceh mungkin kerana perlu ke pejabat Mplus untuk membuat pendaftaran. ๐
Secara ringkas, maklumat dan dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:
- Salinan MyKad depan dan belakang
- Salinan penyata bank
- RM10 untuk pendaftaran CDS
- Borang pendaftaran CDS yang boleh didapati di pejabat Mplus
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang cara-cara untuk membuka akaun CDS dengan Mplus, anda boleh tinggalkan pertanyaan anda di ruangan komen di bawah.
Salam..utk buka akaun cds rm10..
Selepas buka acvc berapa minimum utk kita depo dlm acc cds untuk bermula ?