5 Benda ‘Wajib Ada’ Sebelum Umur 35 Tahun

Gambar: Desain Denah Rumah Minimalis

Pagi tadi saya ada terbaca satu status di Facebook tentang seorang saudara ni berkongsikan tentang 5 benda yang ‘wajib ada’ sebelum umur 35 tahun.

Secara ringkas, 5 benda tersebut adalah:

  1. Duduk rumah yang selesa.
  2. Dua rumah untuk pelaburan.
  3. Simpanan enam bulan gaji.
  4. Simpanan bulanan tetap.
  5. Kereta yang memuaskan.

Saya bersetuju dengan apa yang saudara ini cadangkan. Tetapi, kesemuanya boleh dicapai sekiranya seseorang itu mempunyai matlamat dan perancangan yang betul di awal pekerjaan mereka.

Hutang kereta 9 tahun

Rata-rata masyarakat kita akan membeli kereta baru apabila mereka mula bekerja. Ditambah pula membeli kereta tersebut dengan hutang dalam tempoh 7 hingga 9 tahun.

Bagi anda yang bijak dalam pengurusan kewangan sudah pasti tahu bahawa hutang kereta adalah hutang yang tidak baik. Kerana anda berhutang untuk benda yang susut nilainya mengikut peredaran masa.

Sebagai contoh, pada awalnya nilai sebuah kereta yang dibeli adalah RM50,000. Tetapi selepas 9 tahun kalau anda nak jual semula kereta itu, nilainya mungkin akan menjadi susut kepada RM10,000. Anda dah rugi sebanyak RM40,000 untuk sebuah kereta yang bernilai RM50,000.

Hutang yang perlu anda bayar untuk sebuah kereta RM50,000 bagi tempoh 9 tahun adalah lebih kurang RM600 sebulan. Dan ini adalah satu komitmen yang perlu anda keluarkan setiap bulan selama 9 tahun.

Sekiranya anda tidak membuat perancangan yang betul, komitmen RM600 sebulan ini akan menganggu perjalanan anda untuk mempunyai 5 benda ‘wajib ada’ ini sebelum umur 35 tahun.

Saya pernah buat kesilapan tersebut, dan saya agak ketinggalan untuk mencapai matlamat saya. Sebab itu saya kongsikan pendapat saya ini dengan harapan agar anda tidak membuat kesilapan yang sama seperti saya.

Jadi bagi anda yang baru sahaja mula bekerja, tetapkan matlamat yang ingin anda capai, dan rancang betul-betul strategi anda untuk mencapat matlamat tersebut.

Kalau matlamat anda adalah ingin mempunyai rumah sendiri pada umur 30 tahun, dan anda sekarang baru berumur 25 tahun, maka buat perancangan berapa banyak duit yang perlu anda simpan setiap bulan untuk membuat bayaran downpayment rumah tersebut.

Apabila sebut tentang rumah, anda kena tahu juga rumah yang anda nak beli itu akan diduduk sendiri atau disewakan? Soalan ini pun perlu di ambil kira dalam proses anda membuat perancangan itu nanti.

Gaji sikit bawah RM1,000

Walau bagaimanapun, ada juga komen-komen di status saudara tersebut yang mempersoalkan gaji mereka sikit dan tidak mampu untuk memiliki semua itu sebelum umur 35 tahun.

Pada pendapat saya, ianya semua terpulang pada matlamat dan perancangan anda masing-masing. Setiap orang mempunyai matlamat dan perancangan tersendiri, dan ianya tidak boleh disamakan dengan orang lain.

Kalau gaji anda RM1,000 sebulan, sudah semestinya agak sukar untuk anda mempunyai ke semua benda tersebut sebelum umur anda mencapai 35 tahun.

Tetapi dengan gaji sebanyak itu, anda boleh rancang untuk perkara yang lain seperti, mempunyai perniagaan sendiri pada umur 35 tahun. Mana tahu dengan perniagaan kecil-kecilan anda itu akan membuatkan anda mencapai ke lima-lima perkara yang disenaraikan di atas pada usia 45 tahun?

Saya ada seorang kawan yang gajinya RM1,000 sebulan. Walaupun hidupnya sederhana tetapi dia mempunyai matlamatnya sendiri. Dia cadang untuk mempunyai kebunnya sendiri sebelum umur dia 40 tahun.

Pelan-pelan dia usahakan kebunnya dan tanam pelbagai pokok buah seperti pokok durian Musang King, dan macam-macam lagi. Hasilnya memang tidak boleh diperolehi dalam masa yang terdekat, tetapi pada usianya 40 tahun nanti, dia akan mempunyai satu kebun pokok buah yang hasilnya boleh dijual sebagai sumber pendapatan tambahan.

Jadi pada saya ianya tidak mustahil untuk seorang yang bergaji RM1,000 sebulan untuk berjaya. Semuanya terletak pada matlamat dan perancangan anda masing-masing.

Anda tak perlu peduli pun dengan apa orang kata, yang penting adalah apa yang anda mahukan untuk diri anda sendiri. Buat matlamat yang jelas, dan buat perancangan yang betul. Saya doakan semoga anda berjaya.

About Fauzi M

Merupakan seorang usahawan Internet yang mula berjinak dalam bidang perniagaan selepas membaca buku Jutawan Senyap dan kini menjalankan perniagaan web hosting secara kecil-kecilan di Elfbytes Web Hosting.

Speak Your Mind

*