Siapa Saya?

Travelog Jutawan merupakan sebuah laman web yang berkongsikan tips, panduan, kisah dan pengalaman saya dalam mencapai kebebasan kewangan.

Apa itu kebebasan kewangan (financial freedom)? Kebebasan kewangan adalah keadaan di mana pendapatan pasif mengatasi perbelanjaan bulanan. Ini bermaksud walaupun anda tidak bekerja sekalipun, anda akan tetap mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan anda, selamanya.

Tidak ramai orang orang Melayu tahu apa itu kebebasan kewangan. Rata-rata masyarakat Melayu hanya tahu bekerja makan gaji dan mengharapkan hasil pendapatan yang diterima setiap bulan (pendapatan aktif) adalah mencukupi untuk mereka sekeluarga.

Tetapi ada juga orang Melayu yang kaya dan berjaya. Dan ada juga di antara mereka yang telah mencapai kebebasan kewangan. Mereka berusaha untuk keluar daripada kelompok yang biasa kepada luar biasa. Mereka menjadi orang yang hebat dan menjadi role model bagi ramai orang Melayu di Malaysia.

Di antara insan yang saya kagumi adalah Tuan Shamsul, pengasas GCP, yang (dulu) merupakan sebuah syarikat pengeluar emas bumiputera yang banyak membantu dan mengajak orang Melayu untuk kaya dan berjaya dengan menjadi pengedar emas. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada beliau kerana berjaya menarik dan membuka mata ramai orang Melayu untuk menceburi bidang perniagaan dan pelaburan emas.

Dan tidak dilupakan juga kepada sifu-sifu yang pernah saya menuntut ilmu pelaburan dan perniagaan daripada mereka seperti Tuan Bri (Hartawan Hartanah), Dr Shah Razali (DSR), Puan Fazilah (Jutawan Gold), Tuan Jamal (Internet Marketing), Tuan Ikram (Pelaburan Silver), dan ramai lagi. Mereka adalah insan-insan yang amat hormati dan kagumi di atas kejayaan dan usaha mereka.

Oh ya, siapa saya?

Nama saya Fauzi. Saya merupakan seorang usahawan Internet dan pelabur emas fizikal.

Kisahnya bermula pada tahun 2011 ketika saya membaca buku Menjejaki Jutawan Senyap, hasil karya Dr Rusly Abdullah. Buku tersebut telah menyuntik semangat saya untuk mempunyai perniagaan sendiri sehingga terwujudnya Elfbytes Web Hosting, sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan web hosting yang dikendalikan oleh saya sendiri.

Tahun demi tahun, saya mula mempelajari tentang ilmu pelaburan. Buku seperti Rich Dad Poor Dad yang ditulis oleh Robert Kiyosaki pula telah membuka minda saya tentang pelaburan dan konsep kebebasan kewangan. Sejak dari itu, saya meletakkan matlamat saya untuk mencapai kebebasan kewangan sebelum umur 40 tahun.

Segala tips, panduan, kisah dan pengalaman saya dalam dalam misi ini akan dikongsikan di dalam laman web Travelog Jutawan ini.

Untuk sebarang pertanyaan atau persoalan, boleh disampaikan terus kepada saya dengan menghantarkan email di sini, atau ikuti saya di Facebook dan Twitter.

Fauzi, Travelog Jutawan
4 Februari 2014