Setahun Selepas Menggunakan YNAB

ynab-satu-tahun-01

Bulan ini genap setahun saya menggunakan YNAB (You Need A Budget).

Apa itu YNAB? Akan saya terangkan dengan lebih lanjut dalam artikel saya yang akan datang.

Pada bulan 7 tahun 2014 yang lalu, kalau tak silap saya, pada hari itu adalah Hari Raya yang ke-3, saya menjumpai satu kaedah baru dalam membuat bajet bulanan. Saya pun tidak ingat bagaimana saya boleh menjumpai YNAB ini, tetapi YNAB telah membantu saya dalam menguruskan kewangan saya dengan teratur dan Alhamdulillah, saya berjaya melangsaikan segala hutang-hutang saya yang tidak perlu.

Namun begitu, ingin saya ingatkan di sini terdapat dua perkara berbeza antara hutang dan juga komitmen.

Sebagai contoh, bagi saya, hutang seperti hutang kereta dan hutang rumah adalah satu komitmen (hutang besar). Di mana anda perlu berhutang untuk memilikinya. Kecualilah jika anda merupakan seorang yang kaya dan mempunyai harta yang banyak, bolehlah anda beli kereta dan rumah ini secara tunai.

Tetapi bagi saya, hutang seperti ini saya klasifikasikan sebagai komitmen. Dan hutang ini mengambil masa yang lama untuk dilangsaikan kerana jumlahnya yang besar.

Tetapi bagi hutang berbentuk kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya, saya klasifikasikan sebagai hutang (hutang kecil). Dan bagi pendapat saya sendiri, hutang seperti ini mesti diselesaikan dengan segera. Lagi cepat, lagi bagus.

Dan kaedah YNAB yang saya pelajari setahun yang lalu telah membantu saya dalam menyelesaikan hutang-hutang kecil ini. Di mana kaedah YNAB ini memfokuskan saya untuk memastikan segala wang perbelanjaan saya digunakan mengikut kategori bajet yang betul. Dan dalam masa yang sama, ianya juga memfokuskan saya untuk menyelesaikan hutang-hutang kecil yang saya ada ini dengan segera.

Ini kerana apabila saya mempunyai hutang, akan wujud graf warna merah seperti rajah di bawah ini. Graf yang saya tunjuk di sini adalah graf contoh yang saya ambil dari salah seorang pengguna YNAB di Twitter yang berjaya melupuskan hutang mereka.

Tetapi saya sendiri memang tidak suka melihat graf merah ini dan ini memberikan saya motivasi untuk menghilangkan graf tersebut dengan menyelesaikan hutang saya. Dengan cara itulah hutang-hutang kecil saya dapat dilangsaikan.

Kaedah YNAB ini terbahagi kepada 4 peraturan (4 YNAB Rules). Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang YNAB ini, anda boleh layari laman web mereka dan ikuti kelas webinar yang dijalankan secara percuma.

Jika anda tanya saya adakah YNAB ini bagus, sudah semestinya saya akan katakan ‘YA!’ sebab saya sudah gunakan bermacam-macam kaedah dalam membuat bajet bulanan saya, dan kaedah YNAB ini betul-betul berjaya mengubah cara saya membuat bajet bulanan dan berjaya menguruskan kewangan saya dengan betul. Tengoklah graf saya di atas itu sebagai buktinya.

About Fauzi M

Merupakan seorang usahawan Internet yang mula berjinak dalam bidang perniagaan selepas membaca buku Jutawan Senyap dan kini menjalankan perniagaan web hosting secara kecil-kecilan di Elfbytes Web Hosting.

Trackbacks

  1. […] Sebut tentang perancangan bajet, saya menggunakan aplikasi YNAB (You Need A Budget). YNAB adalah satu aplikasi online berbayar (ketika saya menulis artikel ini, harganya adalah $50USD setahun) dan ianya membolehkan saya membuat bajet bulanan dengan mudah. Anda boleh rujuk artikel saya mengenai setahun selepas saya menggunakan YNAB ini. […]

Speak Your Mind

*