Kenapa saya menulis di blog Travelog Jutawan?

pen-hand-ink-on-pageGambar: Blue Heron Books

Sebelum saya kenal dunia blog pada tahun 2005 dulu, saya membuat website dengan menggunakan HTML. Setiap kali saya menulis artikel, saya akan tulis dengan menggunakan skrip HTML dan upload ke hosting saya. Kaedah ini sangatlah leceh dan rumit sebab saya kena update banyak file HTML bila setiap kali saya mengupdate artikel.

Kemudiannya saya berkenalan pula dengan Blogdrive. Ianya adalah paltform blogging pertama yang saya gunakan. Dan seterusnya saya kenal Blogspot dan akhirnya saya kenal WordPress dan menggunakan WordPress sehinggalah ke hari ini.

Ikutkan sudah sedekad lebih saya menulis blog. Dan blog Travelog Jutawan ini bukanlah blog saya yang pertama. Malah saya sendiri tidak tahu sudah berapa banyak blog yang telah saya miliki.

Setiap blog yang saya tulis mempunyai sebab-sebab yang tertentu. Untuk blog Travelog Jutawan ini, berikut adalah sebab-sebab kenapa saya menulis di blog ini.

Sebagai diari perjalanan saya mencapai kebebasan kewangan

Saya ingin mencatat segala apa yang saya lakukan dalam dunia perniagaan dan pengurusan kewangan saya untuk mencapai kebebasan kewangan. Saya target saya akan capai kebebasan kewangan ketika saya berumur 40 tahun nanti.

Tetapi sekarang masih tak nampak hala tujunya. Tetapi saya akan cuba perbaiki dan susun mana yang kurang agar matlamat saya tercapai.

Menulis blog sebagai diari ini juga adalah cara saya untuk menyimpan segala kenangan susah dan senangnya saya untuk mencapai kebebasan kewangan. 

Dan apabila matlamat saya tercapai nanti, segala penulisan ini akan menjadi kenangan yang bermakna yang boleh saya kongsikan dengan anak cucu cicit saya nanti.

Kongsi tips dan pengalaman dengan pembaca

Selain daripada itu, saya menulis di blog Travelog Jutawan ini adalah untuk berkongsikan tips dan pengalaman saya dengan pembaca. 

Sekiranya ada tips yang saya cuba dan lakukan itu berjaya, saya ingin kongsikan dengan pembaca agar mereka juga boleh menggunakan tips tersebut dalam kehidupan mereka.

Bukan itu sahaja, pengalaman yang saya kongsikan pula boleh dijadikan sebagai pedoman dan pengajaran kepada orang lain. 

Dengan membaca pengalaman orang lain, kita sebenarnya boleh mengelak dari melakukan kesilapan yang sama. Dan dengan belajar dari pengalaman orang lain juga, kita dapat perbaiki dan meningkatkan kualiti hasil yang diperolehi oleh orang yang kita belajar tadi.

Peluang untuk saya kenal dengan pembaca yang mempunyai minat yang sama

Dan akhir sekali, sebab kenapa saya menulis blog di sini adalah untuk saya berkenal dengan pembaca yang mempunyai minat yang sama dengan saya.

Jika saya hanya update di Facebook, mungkin hanya rakan-rakan dan kenalan saya sahaja yang tahu tentang minat saya. Dan tidak semua rakan-rakan saya berminat dengan topik yang saya kongsikan dalam status saya. Yang akhirnya lebih kepada saya syok sendiri.

Tetapi dengan adanya blog, saya dapat berjumpa dan berkenalan dengan lebih ramai orang yang mempunyai minat yang sama dengan saya.  Bila saya dapat berjumpa dan kenal dengan mereka, lebih mudah untuk saya berinteraksi dan berkongsikan pandangan kerana fikiran kami adalah sama.

Jika anda mempunyai blog, sudi-sudikanlah untuk berkongsi dengan saya. Kita dapat berbincang dan sama-sama berkongsikan idea untuk membantu diri sendiri dan orang disekeliling kita untuk mencapai kebebasan kewangan bersama.

Sebagai kesimpulan, saya menulis kerana saya ingin berkongsi. Saya ingin berkongsi artikel dan penulisan saya untuk menjadi tatapan untuk diri saya sendiri, sebagai panduan untuk orang yang membacanya dan sebagai medium untuk saya berkenalan dengan mereka yang ingin mencapai kebebasan kewangan, sama seperti saya.

About Fauzi M

Merupakan seorang usahawan Internet yang mula berjinak dalam bidang perniagaan selepas membaca buku Jutawan Senyap dan kini menjalankan perniagaan web hosting secara kecil-kecilan di Elfbytes Web Hosting.

Speak Your Mind

*