Gaji Yang Anda Perlukan Untuk Membeli Kereta

Gambar: paultan.org

Kereta baru?

Semua orang nak beli kereta baru.

Sebab apa? Sebab kereta adalah lambang kemegahan dan lambang status kehidupan seseorang. Lagi besar kereta seseorang, lagi tinggi taraf hidup dia.

Itulah mentaliti masyarakat kita di Malaysia. Mereka melihat kereta sebagai kayu ukur hidup seseorang.

“Kau bawak kereta Kancil je? Kau kerja apa?”

Itu yang biasa orang tanya kalau seseorang tu bawa kereta kecil. Tetapi kalau orang tu bawa kereta besar, lain pula soalannya.

“Kau bawak kereta Civic Turbo baru tu ke? Pergh…mesti gaji kau besar. Berapa kau bayar sebulan?”

Dengan kereta sahaja, orang dapat menilai gaya hidup dan pekerjaan seseorang tu.

Tetapi, adakah kita mampu untuk membeli sebuah kereta baru? Berapa banyak gaji yang diperlukan kalau kita nak beli kereta tersebut?

Anda boleh gunakan formula ini.

Harga Kereta / 12 bulan = Jumlah Gaji Yang Anda Perlukan

Sebagai contoh, anda nak beli sebuah kereta Honda Civic Turbo (Premium) yang berharga dalam RM 135,000. Kalau mengikut formula di atas, gaji yang anda perlukan adalah:

RM 135,000 / 12 bulan = RM 11,250

Ya! Gaji anda mestilah dalam RM 11,250 sebulan sekiranya anda ingin membeli sebuah kereta Honda Civic Turbo (Premium) yang berharga RM 135,000.

RM 11,250! Banyak bukan?

Tetapi dengan gaji sebanyak ini, anda boleh membeli kereta tersebut tanpa masalah. Anda tidak akan rasa terbeban dengan hutang kereta yang perlu anda bayar setiap bulan.

Anda perlu ingat banyak lagi komitmen lain yang perlu anda bayar setiap bulan. Bukan hanya hutang kereta sahaja, tetapi termasuklah dari segi simpanan untuk kos servis kereta, minyak, tol, dan macam-macam lagi yang perlu diambil kira sebelum membeli kereta.

Memang betul kereta adalah lambang kemegahan seseorang, tetapi jangan kerana nak menjaga kemegahan, anda terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi setiap bulan.

Tepuk dada, tanya poket. Poket kata apa?

About Fauzi M

Merupakan seorang usahawan Internet yang mula berjinak dalam bidang perniagaan selepas membaca buku Jutawan Senyap dan kini menjalankan perniagaan web hosting secara kecil-kecilan di Elfbytes Web Hosting.

Speak Your Mind

*